Sunday, May 25, 2014

Piala Thomas 2014 Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Alhamdulilah diberi kesempatan masa dan waktu untuk meluahkan pendapat mengenai perlawanan badminton yang baru sahaja saya tonton sebentar tadi iaitu perlawanan akhir Piala Thomas di antara Malaysia menentang Jepun. Ada jua yang mengibaratkan seperti Upin Ipin menentang Doraemon. Yang menarik sekali Menteri Belia dan Sukan Malaysia juga turut hadir untuk menyaksikan perlawanan ini.

Saya akui, saya bukanlah peminat badminton namun, skuad Malaysia ternyata menempa nama di mata dunia kerana sering diakui oleh negara lain akan kehandalan negara kita di dalam permainan ini. Piala Thomas antara pertandingan yang menarik untuk ditonton kerana ia bukan sahaja melibatkan kategori semata-mata malah ia turut melibatkan pungutan kemenangan dan kekalahan dalam pasukan.Bermakna setiap perlawanan akan menjadi penentu kepada kemenangan atau kekalahan pasukan. Dalam erti kata lain, semangat berpasukan adalah faktor utama.

Biarpun perlawanan ini berakhir dengan kekalahan 3-2, kesungguhan yang ditampilkan oleh seluruh skuad Malaysia sangat jelas. Ini dapat disaksikan melalui kekalahan skuad kita amatlah tipis kerana hampir-hampir sahaja kita mampu memenangi piala thomas ini. Namun barangkali, rezeki tidak berpihak kepada kita, kita sekadar mampu menjadi naib johan bagi perlawanan ini.

Kali terakhir kita merangkul kemenangan sebagai johan bagi pertandingan ini adalah pada tahun 1992 yang menyaksikan pasukan kita yang kebanyakkannya terdiri daripada 'anak-anak Sidek' telah berjaya mengharumkan nama negara pada ketika itu. Jika anda yang ingin menonton saat bersejarah ini, terdapat rakaman semula yang dipaparkan kembali di laman sesawang 'Youtube'.

Sesungguhnya janganlah kita memberikan tanggapan negatif kepada skuad Malaysia di atas kekalahan mereka ini, kerana bukan mudah untuk menggalas beban amanah yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Hendaklah kita meletakkan diri kita di tempat mereka agar dapat memahami keringat yang telah dicurahkan mereka dalam menghadapi lawan-lawan mereka.

Selesai untuk penulisan entri pada kali ini, marilah kita bersama-sama menyahut seruan "Majulah Sukan untuk Negara" dan bukan sekadar mengkritik tanpa memahami situasi yang melanda. Terima kasih kepada skuad badminton Malaysia di atas perlawanan yang sangat hebat tadi.

Tuesday, May 20, 2014

Tiada Kegusaran


Saat bersedih pasti menjadi hiba,
Saat menangis pasti merasa derita,

Perasaan mana mungkin dilihat,
Andai diluah,
Sepenuh rasa belum tentu dipenuhi pemahamannya,
Andai dipapar,
Barangkali dituduh provokasi,
Pemohon simpati tidak terkecuali,


Jangan lupa,
pengubat hati,
penyembuh perasaan,
Kembalilah pada yang menciptanya,
Mana mungkin Yang Mencipta benci melihat ciptaanNya..
Jangan pernah gusar....

Puisi Hati Di Kala Sepi

Di kala sepi,
meniup rindu
Di kala rindu,
bermulanya puisi,

Manakan bisa berubah andai hati sudah memiliki,
manakan mahu mencintai andai hati tidak ingin pergi,

Fikiran dan hati mana mungkin bercantum menjadi satu,
Jika dikuasai salah satunya pasti
yang ditindas kesakitan menahan derita